Siaran Akhbar dan Foto : Pejabat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 April. - Bagi mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Menteri yang bertanggungjawab bagi Tenaga telah menghadiri Mesyuarat Sidang Kemuncak Asia Zero Emission Community Plus (AZEC+) secara dalam talian pada Rabu, 15 April 2026.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah.
Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II menyampaikan penghargaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada Perdana Menteri Jepun, Puan Yang Terutama Sanae Takaichi, atas penganjuran Sidang Kemuncak AZEC+ yang penting ini.
Yang Berhormat turut menyampaikan kedudukan Negara Brunei Darussalam bahawa krisis kekurangan bekalan bahan api dan gangguan rantaian bekalan tenaga telah mengukuhkan keutamaan kecekapan tenaga dan mampu milik bahan api sebagai dasar teras negara.
Walaupun Negara Brunei Darussalam dalam kedudukan yang baik, negara tidak terlindung daripada kesan ini kerana ketidakstabilan harga telah memberi kesan kepada rakyat dan industri.
Negara Brunei Darussalam tambahnya, menyokong pendekatan yang seimbang dan kekal komited untuk mempercepatkan sumber tenaga alternatif termasuk tenaga boleh diperbaharui pada kadar yang seiring mengikut keperluan dalam negeri sambil mengekalkan pelaburan dalam sektor minyak dan gas.
Sebagai pengeluar tenaga yang stabil dan boleh dipercayai, Negara Brunei Darussalam menggariskan bahawa sebarang inisiatif serantau mestilah inklusif, seimbang, membawa manfaat bersama, dan menghormati keselamatan bekalan tenaga dalam negeri masing-masing.
Sidang Kemuncak ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri Jepun, yang menekankan bahawa negara-negara yang paling terkesan akibat gangguan rantaian bekalan berkenaan adalah negara-negara di rantau Asia, dan oleh itu menyeru keperluan memperkukuhkan kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran keselamatan tenaga. Jepun mengumumkan pakej sokongan Partnership of Wide Energy and Resources Resilience Asia (POWERR Asia) bernilai 1.5 trilion yen (USD10 bilion), yang merangkumi pembiayaan kecemasan serta sokongan bersifat struktural.
Perdana Menteri Jepun turut mengumumkan bahawa AZEC akan dinaiktaraf, yang mana daya tahan ekonomi dan tenaga akan digabungkan dengan elemen penyahkarbonan, pertumbuhan ekonomi, dan keselamatan tenaga.
Cadangan tersebut disambut baik oleh para pemimpin, menteri, dan ketua pertubuhan antarabangsa dan turut mengongsikan kesan gangguan bekalan bahan api terhadap ekonomi negara masing-masing.
Selain itu, mereka menyeru tindakan serantau yang lebih kukuh melalui mekanisme ASEAN sedia ada, pengukuhan daya tahan rantaian bekalan, serta mempercepatkan peralihan tenaga.
Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam Mesyuarat Sidang Kemuncak ini mencerminkan komitmen berterusan negara dalam menyokong kerjasama serantau sambil memastikan keselamatan tenaga dan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.